April kian tiba ke penghujungnya. Bermakna adik-adik yang berada di Program Satu Tahun Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan melabuhkan tirainya. Setahun menghadapi cabaran pahit manis Program Matrikulasi akan menjadi kenangan buat selamanya. Program Matrikulasi adalah asas kepada lanjutan pelbagai lagi Ijazah Sarjana Muda. Awam atau swasta, tempatan atau luar negara. Pilihan kepada jurusan merupakan sesuatu yang selalunya menjadi isu dan kerunsingan buat mereka-mereka yang masih belum mempunyai pendedahan kepada jurusan yang ingin dipilih. Apakah yang menjadi faktor bagi pemilihan kursus atau jurusan yang dipilih?
Pointer atau PNGK semestinya satu faktor utama dan penting. Namun apakah faktor lain yang menjadi pengaruh?Kehendak, keupayaan atau minat?
Kehendak merupakan satu topik yang luas. Dan selalunya kehendak adalah faktor utama dalam memilih jurusan. Kehendak boleh dikategorikan kepada tiga. Kehendak peribadi, kehendak lingkungan dan kehendak persekitaran.
Kehendak peribadi secara amnya adalah cita-cita. Sejak kecil kita sudah acapkali ditanya apakah cita-cita kita bila dewasa nanti. Sedikit sebanyak pertanyaan ini akan terkesan di hati dan menjadi dorongan untuk mencapai kejayaan dan mencapai cita-cita itu. Kehendak peribadi adalah apa yang anda mahukan. Apa yang anda mahu jadi sesudah tamat belajar nanti. Dan adakah anda pasti setelah tamat ijazah anda nanti anda mampu mencapai cita-cita anda?
Kehendak lingkungan pula adalah pengaruh kehendak daripada mereka-mereka dipersekitaran. Ibubapa, kaum keluarga, sahabat dan ada juga yang menjadikan idola atau ikon mereka sebagai satu ikutan. Ada yang ibubapa yang begitu mengharapkan anaknya menjadi seorang doktor sebagai contoh tapi sedangkan cita-cita sendiri mahu menjadi seorang peguam. Ini sedikit sebanyak akan memberi kesulitan dalam membuat keputusan.
Kehendak persekitaran pula adalah adalah kehendak kerjaya semasa ataupun masa hadapan yang disebut 'Career Bloom' sebagai contoh ketika pertengahan 90-an jurusan IT menjadi popular apabila pasaran meramalkan negara memerlukan ramai pakar IT pada awal millennium. Perkara ini juga berulang lagi pada sekitar 2005 apabila jurusan Bioteknologi menjadi satu trend semasa apabila kerajaan memberikan dana dan prospek kerjaya yang luas dengan pembangunan Biovalley dan Biotech Corp.
Keupayaan pula berbalik kepada individu itu sendiri. Setiap individu dianugerahkan dengan keupayaan masing-masing yang tersendiri. Ada yang mempunyai keupayaan dalam bidang teknikal, fotografi, multimedia dan sebagainya. Tapi adakah dengan keupayaan sahaja cukup untuk menamatkan pengajian dan mendapat kerjaya yang menjamin masa depan. Pada kebiasaannya keupayaan seseorang jarang dimanipulasi dan digunakan sebagai kekuatan dan dibiarkan begitu sahaja. Sedangkan keupayaan diri jika digunakan dengan sebaiknya mampu membuat seseorang itu berjaya walaupun tanpa pengajaran dan pembelajaran secara formal.
Minat adalah suatu perkara yang klise. Sebagai contoh individu yang mempunyai latar belakang pendidikan teknikal tapi mempunyai minat dalam bidang pengurusan sumber manusia. Melanjutkan ijazah dalam bidang kejuruteraan tapi akhirnya memiliki kerjaya sebagai seorang pegawai sumber manusia walaupun tanpa kelulusan yang sepatutnya.
Semua ini adalah faktor yang seringkali mempengaruhi dalam membuat pilihan jurusan di IPT kelak. Kehendak, Keupayaan dan Minat. Dan apakah penyelesaian kepada perkara ini. Bagaimana mahu membuat keputusan dan pilihan yang tepat? Jawapannya terletak dalam diri anda sendiri. Tepuk dada tanya selera. Mengikut kehendak peribadi, ibubapa atau pasaran? Memanipulasi keupayaan diri yang dianugerahkan atau meneruskan minat pada sesuatu perkara? Walau apapun jurusan yang dipilih, ijazah itu akan kekal menjadi 'Hanya Sekeping Kertas' jika ianya tidak diisi dan dicoret dengan sempurna.
*Artikel dipetik dari majalah Aspirasi KPT*
Penulis adalah Alumni Program Matrikulasi Satu Tahun Kementerian Pelajaran Malaysia dan graduan Universiti Malaya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains. Berpengalaman menjadi fasilitator minggu pengurusan, pelbagai program jati diri dan juga Biro Tatanegara.
NANTIKAN POST SETERUSNYA
*BIASISWA, PINJAMAN DAN TAJAAN*
0 comments:
Post a Comment